Wednesday, August 02, 2006

Bahaya Penggunaan Kosmetik Untuk Barangan Jagaan Rambut

Barangan Jagaan Rambut

Syampu
Syampu merupakan bahan pencuci rambut yang baru diperkenalkan kerana sebelum ini manusia menggunakan sabun untuk mencuci rambut. Pada tahun 1930, syampu dalam bentuk cecair mula diperkenal dan dipasarkan. Seterusnya diikuti keluaran dalam bentuk krim dan krim cecair. Tujuan penggunaan syampu pelbagai, antaranya untuk rawatan rambut terbelah dihujung, kelemumur dan rambut yang bermasalah. Syampu bersabun yang dipasarkan sekarang mengandungi lebih kurang 25 peratus minyak kelapa, sedikit minyak zaiton, 15 peratus alkohol dan 50 peratus sodium lauril sulfat dan 40 peratus air.

Walau bagaimanapun pada masa ini, syampu berasaskan sabun semakin kurang dikeluarkan sebaliknya digantikan dengan sabun sintetik. Syampu cecair merupakan yang paling popular. Biasanya syampu cecair mengandungi bahan pencuci seperti trietanolamin dodesilbenzin sulfonat, etanolamin laurik asid, pewangi dan air. Kandungan agen penambah (contohnya, selenium, asid salisilat dan resorsinol dalam sediaan anti kelemumur, pewarna, pewangi, pengawet) yang dirumuskan dalam syampu tidak begitu tinggi sehingga boleh menyebabkan keracunan kulit. Namun sesetengah agen berkenaan boleh mengakibatkan alergik pada kulit.

Sekiranya terminum antara 5 hingga 15 ml atau gm/kg berat, badan boleh menyebabkan keracunan yang ringan. Kerengsaan perut, mual dan muntah boleh terjadi. Susu boleh diberikan untuk mencairkan syampu di dalam perut.

Barangan peluntur rambut
Barangan peluntur rambut mengandungi pelbagai bahan kimia. Barangan jenis serbuk dan losyen dianggap sederhana bahayanya dan jika tertelan boleh menyebabkan gangguan gastrousus. Mangsa perlu bertindak dengan membasuh mulutnya dengan air yang banyak, kemudian dibawa untuk mendapat pemeriksaan doktor.

Barangan pengkerinting rambut
Pemprosesan barangan pengkeringting rambut melibatkan penggunaan berbagai bahan kimia. Bahan kimia yang boleh membahayakan adalah sulfit, bromat dan tioglikolat yang terdapat dalam losyen mengkerinting serta hidrogen peroksida yang bertindak sebagai neutralizer. Keracunan serius pernah berlaku pada kanak-kanak berusia 1.5 hingga 3 tahun yang menelan losyen kerinting rambut yang mengandungi bromat. Salah satu komplikasi yang dialami adalah buah pinggang gagal berfungsi. Keadaan ini boleh menyebabkan kematian. Hidrogen peroksida yang digunakan dalam barangan pengkeringting rambut berkepekatan sebanyak 9 peratus. Pada kepekatan ini, jika tertelan, ia tidaklah membimbangkan kecuali jika melibatkan isipadu yang banyak. Hidrogen peroksida boleh membebaskan oksigen dengan banyak sehingga menyebabkan ketegangan atau pengembangan perut. Keadaan ini akan membuatkan mangsa mengalami kesakitan perut.

Barangan pelurus rambut
Barangan pelurus rambut mengandungi bahan kimia yang lebih kuat pada kepekatan yang lebih tinggi daripada barangan pengkerinting rambut. Barangan pelurus rambut biasanya mengandungi natrium hidroksida pada kepekatan 1 hingga 3 peratus dengan nilai pH 13. Arahan penggunaannya haruslah diikuti dengan teliti bagi mengelakkan iritasi atau radangan pada kulit dan mata. Jika tertelan, ia boleh membakar sistem penghadaman kita terutama di bahagian esofagus. Untuk mengatasi masalah ini, pengguna digalakkan minum air biasa atau susu untuk mencairkannya. Pemeriksaan doktor juga perlu, bagi mengelakkan komplikasi.

Penyembur rambut
Penyembur rambut digunakan untuk mengawal keadaan rambut. Ini adalah barangan penjagaan rambut yang paling digemari. Pelarut yang digunakan biasanya sejenis alkohol yang berkepekatan sehingga 95 peratus. Jika tertelan, pelarut alkohol tersebut boleh mengakibatkan seseorang mengalami pening kepala. Kesan lain adalah sama seperti kesan keracunan alkohol.

Pelembut rambut, krim pembilas dan bahan dandanan rambut
Walaupun pelembut rambut, krim pembilas dan bahan dandanan rambut mengandungi berbagai jenis bahan kimia namun secara amnya barangan ini dianggap tidak berbahaya jika tertelan. Jika kandungan alkoholnya tinggi, kesan yang mungkin dialami hanyalah berbentuk gangguan perut.

No comments: