Petikan dari: Wan Zainal Azman Wan Abdullah - Pusat Racun Negara
Setiap wanita ingin kelihatan cantik dan bergaya dan dengan menggunakan alat solek ia merealisasikan impian mereka. Namun begitu, tahukah anda, kanak-kanak juga menggemarinya dan sekiranya mereka menggunakannya tanpa pengawasan pasti akan memudaratkan mereka. Kebiasaannya di bilik tidur, meja solek menjadi perhatian utama anak-anak kita. Mereka akan mencuba alat solek seperti yang dilihat dipakai oleh ibu mereka. Tanpa disedari mereka akan menelan bahan tersebut kerana kebanyakan bahan kosmetik mempunyai rasa, bau dan warna yang menarik perhatian kanak-kanak. Walaupun secara amnya barangan ini selamat digunakan, namun kehadiran bahan kimia tertentu boleh memberikan kesan mudarat apabila tersalah guna. Ini disebabkan setiap satu barangan ini mempunyai kandungan bahan kimia yang berbagai-bagai dan sesetengahnya boleh memudaratkan kesihatan pengguna apatah lagi kepada anak-anak kita. Oleh itu, nama kandungan bahan kimia yang tercacat pada label atau kotak kosmetik merupakan maklumat yang berguna kepada doktor untuk memudahkan rawatan diberikan jika berlakunya kes keracunan.
Mekap muka
Pemerah pipi, bedak asas, mekap asas, dan 'blemish' sama ada dalam bentuk krim, cecair atau batang pada asasnya mengandungi lilin, minyak, lemak dan air. Selain daripada itu bahan ini mengandungi sedikit bahan pelikat (filter), pelembab, bahan penebal (thickeners), pewarna, pewangi dan pengawet. Pamerah pipi dalam bentuk bedak mengandungi talkum, kaolin, stearat, minyak galian atau minyak sayur, ester asid lemak, magnesium karbonat, pewarna, pengawet dan pewangi. Ramuan yang digunakan di atas secara praktiknya tidak berbahaya. Walaupun demikian jika anak anda tertelan, berikan minum susu atau air yang banyak bagi meredakan dan mencairkan bahan tersebut di dalam perut mangsa.
Mekap mata
Pensil alis mata mengandungi beberapa jenis bahan kimia di antaranya adalah lampblack, petrolatum, parafin, aluminium silikat dan asid stearat. Penggunaanya di bawah kelopak mata tidak digalakkan oleh pakar perubatan. Kesan daripada penggunaannya sedemikian boleh menyebabkan pelbagai masalah termasuklah pigmentasi pada lapisan mukosa mata, mata menjadi merah, radang, berair dan pandangan menjadi kabur. Parafin tulin adalah berbahaya pada kulit dan parafin tidak tulin sepenuhnya boleh menyebaban kerengsaan dan ekzema. Walaupun pada amnya kandungan petrolatum adalah tidak toksik, namun demikian ia boleh menyebabkan alahan pada kulit. Pembayang mata mengandungi lanolin, lilin lebah, seresin, kalsium karbonat, minyak mineral, sorbitan oleat dan talkum (bedak). Bedak jika terhidu untuk jangka masa panjang boleh menyebabkan gangguan paru-paru. Maskara mengandungi garam asid stearik bersama pigmen dan/atau lanolin, parafin dan lilin karnauba. Pengalaman penggunaan bahan ini selama beberapa tahun menunjukkan terdapatnya beberapa kes seperti melecur, mata berair dan kerengsaan mata. Bahan-bahan yang digunakan di atas secara praktiknya tidak merbahaya. Walaupun demikian jika anak anda tertelan, berikan minum susu atau air yang banyak bagi meredakan dan mencairkan bahan tersebut di dalam perut mangsa.
Gincu
Gincu secara amnya dianggap tidak berbahaya. Bahan ini mengandungi minyak galian atau sayuran, lilin dan pewarna. Lain-lain bahan yang ditambah termasuklah bahan pelembap, pewangi, pengawet, antioksidan dan mungkin perasa. Jika ditelan, tidak meninggalkan sebarang kesan.
Pemutih kulit
Barangan pemutih kulit biasanya mengandungi bahan aktif hidrokuinon dalam kepekatan 1 - 5 peratus dan amat berkesan sekali menghilangkan tompokan hitam. Selain hidrokuinon, terdapat bahan aktif lain yang digunakan termasuk monobenzil dan monometil eter hidrokuinon, raksa, asid askorbik dan peroksida. Bahan tambahan lain yang digunakan ialah air, gliseril stearat, gliserin, asid stearik dan pewangi. Hidrokuinon bukan sahaja merbahaya malahan jika termakan ia boleh menyebabkan keracunan yang serius. 5 -15 gram dos yang digunakan boleh menyebabkan mengeletar (tremor), gelugut (sawan) dan kerosakan sel darah merah (anemia hemolitik).
Bedak
Barangan bedak termasuk bedak debu dan bedak badan mengandungi bahan-bahan seperti talkum, kanji atau kedua-duanya sekali dengan disertakan dengan karbonat tak organik, zink stearat, kaolin, pewangi dan mungkin juga pengawet. Secara amnya, bedak jenis ini dianggap tidak berbahaya. Namun begitu jika dihidu dengan banyak boleh menyempitkan saluran pernafasan.
Krim dan losyen
Barangan pembersih kulit pada asasnya adalah emulsi minyak dalam air yang terdiri dari minyak, lemak atau lilin yang digunakan sebagai pencuci. Selain daripada itu ia juga mengandungi pelembap, pewarna yang dibenarkan, pewangi dan pengawet. Produk ini dikelaskan sebagai tidak berbahaya jika tertelan. Sekiranya tertelan dengan jumlah yang banyak boleh mengakibatkan gangguan perut. Jika ini berlaku, mangsa hendaklah diberi minum air atau susu sebagai rawatan kecemasan. Sebagai rawatan susulan bawalah mangsa berjumpa dengan doktor. Sekiranya terkena pada mata, lalukan air yang banyak ke atas mata selama 15 minit. Barangan ini didapati tidak menyebabkan radang kulit.
Deodoran dan Anti peluh
Deodoran digunakan untuk melindungi bau badan atau mencegah pembiakan bakteria serta pengeluaran peluh. Deodoran dalam bentuk cecair biasanya mengandungi alkohol, air, pewarna dan agen penghilang bau. Manakala dalam bentuk batang, ramuannya adalah lilin, sabun dan pelembab. Deodoran jenis krim dan "roll on" mempunyai kandungan yang hampir sama cuma berbeza dari segi bahan emulsi dan pelikat. Anti peluh mengandungi kandungan yang hampir sama dengan deodoran cuma ia mengandungi agen anti peluh aluminium hidroksiklorida (dikenali sebagai aluminium klorida hidroksid atau aluminium klorohidroksida atau aluminium klorohidrat). Barangan seperti ini tidak dikelaskan sebagai merbahaya apabila tertelan. Sekiranya tertelan usahakan supaya mangsa memuntahkan kembali bahan tersebut serta minuman susu diberikan bagi meredakan dan mencairkan bahan tersebut di dalam perut mangsa.
Pengilat kuku
Barangan pengilat kuku terdiri daripada pelarut seperti xilena, toluena, aseton, etil asetat, etanol atau metanol dan pelembut kuku (seperti butil-asetat, dibutil phthalate, kamfor) bersama-sama dengan nitroselulosa atau lain-lain resin. Sesetengah bahan kimia ini jika ditelan dengan banyak boleh mengakibatkan rasa mual, muntah dan mungkin juga penekanan terhadap fungsi otak. Oleh yang demikian, mangsa keracunan perlu dibawa ke hospital dengan segara sekiranya didapati terminum pengilat kuku. Sekiranya terkena pada mata, bersihkan mata dengan melalukan air yang banyak pada mata tersebut.
Pembersih pengilat kuku
Pembersih pengilat kuku pula mengandungi aseton dan etanol sebagai bahan kimia utama yang juga dikenali sebagai bahan pelarut. kedua-dua pelarut ini digunakan utnuk melunturkan pengilap kuku. Selain daripada bahan pelarut, minyak, lanolin, alkohol berlemak dan pewangi juga dimasukkan. Barangan seperti ini dikelaskan sebagai sederhana berbahaya. Kesan keracunan yang diperhatikan adalah sama dengan kesan keracunan alkohol. Rawatan kecemasannya sama seperti pengilat kuku. Ia juga boleh menyebabkan radang mata sekiranya terkena pada mata.
Kolon dan minyak wangi
Barangan kolon serta minyak wangi amnya adalah larutan hidroalkohol yang dicampurkan dengan sedikit pewangi. Barangan ini mempunyai kandungan alkohol setinggi 50 hingga 90 peratus. Jika ditelan, ia boleh menyebabkan seseorang itu mengalami rasa mengantuk dan penekanan fungsi otak.
No comments:
Post a Comment