Tuesday, June 17, 2008

Dr Denison: Kadar kemiskinan M'sia 30%

Kadar kemiskinan di Malaysia sebenarnya lebih 30 peratus dan bukannya 5.7 peratus sepertimana yang diumumkan oleh kerajaan, kata Presiden Yayasan Strategik Sosial, Dr Denison Jayasooria.

Beliau yang juga pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia berkata, ini kerana kaedah yang digunakan sekarang untuk mengira Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara adalah tidak tepat.

Katanya, kaedah kerajaan mengira PGK sekarang hanya melibatkan keperluan asas seperti yang dilakukan oleh negara-negara miskin, tanpa mengambilkira taraf hidup isi rumah.

Dr Denison berkata, kalau semua itu diambil kira, maka kadar kemiskinan rakyat negara ini lebih 30 peratus berikutan keadaan semasa dan kenaikan kos sara hidup.

"Pada pandangan saya, kini terdapat lebih 30 peratus mereka yang miskin dinegara ini, lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi semasa, dan bukannya hanya 5.7peratus (seperti yang diumumkan kerajaan)," katanya.

Beliau berkata, cara pengiraan untuk mengukur garis kemiskinan yang digunakan sekarang hanya mengambil kira keperluan asas sahaja dan ia tidak mengambarkan keadaan sebenar.

"Seharusnya, ia perlu mengikut kaedah ukuran PGK seperti apa yang diamalkan di negara-negara maju, seperti Sweden dan Singapura," katanya, sambil menambah, kaedah yang digunakan di Malaysia sekarang tidak lagi bersesuaian, dengan kedudukan negara ini yang semakin membangun.

Kiraan tidak tepat

Dr Denison berkata, cara pengiraan yang diamalkan oleh negara-negara maju adalah purata pendapatan isi rumah dibahagi dua, bagi menentukan garis kemiskinan.

Misalnya, kini purata pendapatan bulanan isi rumah rakyat Malaysia ialah sebanyak RM3,686. Menurut Dr Denison, ini bermakna, garis kemiskinan ialah separuh daripadanya, iaitu RM1,843
Bagaimanapun, berdasrkan pengiraan 2005, garis kemiskinan untuk seluruh negara adalah RM691 bagi pendapatan bulanan, manakala bagi Semenanjung pula, jumlahnya RM661, Sabah (RM888) dan Sarawak (RM765). Pengiraan ini bagi keluarga seramai lima anggota.

Dr Denison mahu kaedah pengiraan garis kemiskinan itu mengambilkira kualiti hidup rakyat kerana kaedah yang digunakan sekarang tidak mengambarkan taraf hidup isi rumah.

Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/84613

No comments: