Friday, June 27, 2008

Lubang syaitan lokasi maut


Kaum Seneca Indians purba percaya ada 'semangat jahat' dalam Devil's Hole

BERSUNGGUH-SUNGGUH kaum Orang Asli Seneca Indians melarang Robert La Salle daripada masuk ke dalam gua Devil’s Hole yang kini terletak di Gaung Niagara, New York, Amerika Syarikat (AS) pada 1669.

Bagaimanapun, pengembara Perancis itu tetap berdegil. Misteri yang tersembunyi dalam gua itu terlalu menarik minatnya. Keinginan untuk masuk dan menyiasat sendiri keadaan di dalam gua itu membuak-buak.

Tanpa mengendahkan larangan masyarakat pribumi itu, dengan pelbagai persoalan menyelubungi mindanya, lelaki itu memasuki gua kelam itu. Namun, selepas keluar, kehidupan La Salle mula berubah. Nasib malang bagaikan sentiasa mengekorinya dan kemuncak kepada tragedi yang berterusan menimpa lelaki itu adalah dia dibunuh di Texas pada 1687.

Ramai tertanya-tanya sama ada nasib malang La Salle selepas keluar dari gua itu berkait rapat dengan misteri yang tersembunyi di dalam Devil’s Hole.

Bagi masyarakat Seneca Indians, mereka percaya lelaki itu menerima padah akibat mengganggu ‘penghuni’ gua berkenaan.

Sejak ratusan tahun lalu, kaum Seneca Indians purba percaya di dalam gua itu ada ‘semangat jahat’ yang mendiaminya menyebabkan mereka sentiasa menjauhi kawasan itu kerana enggan mengganggu makhluk berkenaan.

Mereka juga cuba memberi amaran kepada La Salle mengenai perkara itu tetapi pengembara terbabit berdegil dan akhirnya dia menerima padah akibat perbuatannya.

Dalam buku ‘History of Niagara County’ (Sejarah Daerah Niagara), ET Williams menulis: “Nasib malangnya (La Salle) selepas keluar dari gua itu dan pembunuhannya di Texas dianggap Senecas berpunca daripada semangat jahat yang diganggu lelaki itu apabila dia menceroboh kediaman mereka.”

Sejak pencerobohan La Salle, kawasan sekitar gua itu bagaikan mula menagih ‘darah’ dan tahun demi tahun, semakin banyak nyawa terkorban berhampirannya.

Kejadian paling dahsyat dikatakan berlaku pada 14 September 1763 apabila konvoi tentera British diserang dan dibunuh puak pribumi Indians selepas melintasi Devil’s Hole. Hampir 100 tentera dibunuh sebelum kulit kepala mereka disiat. Sesetengah askar pula mati selepas terjun ke dalam gaung bagi melarikan diri daripada amukan puak pribumi itu.

Jeritan kesakitan dan serangan kedengaran sehingga ke dalam gaung yang dilalui dua pasukan askar lain. Mereka bergegas menghulurkan bantuan tetapi turut dibunuh.

Hari itu, hampir 200 nyawa askar British maut berhampiran Devil’s Hole dan hanya tiga askar terselamat. Kejadian yang digelar ‘Devil’s Hole Massacre’ itu menyebabkan anak sungai yang mengalir berhampiran gua itu bertukar merah akibat dicemari darah mangsa yang terkorban.

Bertahun selepas tragedi itu, kesan tulang rangka, kereta kuda dan senjata askar terus dijumpai di celah batu gaung berkenaan.

Misteri kemalangan dan tragedi maut berhampiran Devil’s Hole menarik minat seorang penyelidik, Dwight Whalen, untuk mengkaji kawasan itu. Beliau merekodkan sejak ratusan tahun lalu, puluhan tragedi termasuk maut berlaku berhampiran gua itu.

Sehingga kini, ramai tertanya-tanya adakah benar gua terbabit dihuni ‘semangat jahat’ dan makhluk halus itulah yang menjadi punca pelbagai tragedi berdarah berhampiran Devil’s Hole.

Bagi pihak yang skeptikal, mereka percaya semua tragedi itu hanyalah kemalangan berikutan laluan sekitar gaung dan gua itu licin dan berliku.

Sekiranya kisah semangat jahat yang menghuni Devil’s Hole hanyalah khayalan, hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah ratusan nyawa sudah melayang berhampiran gua itu sekali gus menjadikan lokasi itu sebagai antara kawasan paling bahaya di dunia.

INFO: Rekod Dwight Whalen mengenai kemalangan berhampiran Devil’s Hole
  • 28 Jun 1854: kanak-kanak perempuan berusia lima tahun mati selepas jatuh dari gaung setinggi 50 meter.
  • 27 Februari 1913: mayat lelaki berusia 65 tahun dijumpai 17 meter di dalam Devil’s Hole.
  • 1 Julai 1917: kereta api berhampiran Devil’s Hole tergelincir dan terjunam ke dalam sungai menyebabkan 14 mangsa terbunuh dan 28 cedera.
  • 1971 dan 1984: masing-masing seorang lelaki terjatuh dan cedera.
  • 1987: dua lelaki berasingan lemas dalam sungai di bawah gua itu.

No comments: