Saturday, October 18, 2008

Mati tidak sekadar mati

Sebuah pesanan ringkas muncul di skrin telefon bimbitku. Isinya......berita dukacita. Seorang teman meninggal dunia...Innalillahi WainnaillahiRaji'un.

Kita tidak akan pernah tahu; bilamana dan dimana kita akan menghembuskan nafas yang terakhir. Kita pun tidak akan pernah tahu apakah akah masuk syurga atau menuju neraka. Semuanya adalah misteri Allah SWT. Semuanya sudah diatur olehNya. Kita tidak akan pernah dapat mengubahnya. Namun yang pasti kita semua akan mati. Berikut adalah perbualan tentang kematian :

Ada sebuah perbincangan yang menarik antara seorang ustaz dengan jemaah pengajiannya.
Ustaz bertanya kepada jemaahnya "Ibu-Ibu ingin masuk syurga?"
Dengan serentak ibu-ibu menjawab "mauuuu...." Ustaz kembali bertanya "Ibu-ibu ingin mati hari ini tidak?" Tidak ada seorang pun yang menjawab. Rupanya tidak ada seorang pun yang ingin mati. Dengan tersenyum ustaz tersebut berkata "Lah bagaimana nak masuk syurga kalau tidak mati-mati"

Ustaz itu meneruskan pertanyaannya "Ibu-ibu mahu saya doakan panjang umur?"
Dengan bersemangat ibu-ibu menjawab "mauuu...."
Ustaz kembali bertanya "Berapa lama ibu-ibu ingin hidup? Seratus tahun? Dua ratus atau bahkan seribu tahun? Orang yang berumur 80 tahun sahaja sudah kelihatan terketar-ketar apa lagi yang berumur ratusan tahun". Rupa-rupanya pertanyaan tadi tidak selesai hingga disitu.

Ustaz masih terusbertanya "Ibu-ibu cinta dengan Allah tidak? "Jawapannya memang sudah dapat diduga. Ibu-ibu dengan serentak menjawab"Ya". Ustaz kemudian berkata "Biasanya kalau orang jatuh cinta, dia selalu rindu untuk berjumpa dengan kekasihnya, apakah ibu-ibu sudah rindu ingin bertemu Allah?" Hening. Tidak ada yang menjawab.

Kebanyakan dari kita ngeri membicarakan tentang kematian. Jangankan membicarakan, membayangkannya sahaja kita tidak berani. Jawapannya adalah kerana kita tidak bersedia menghadapi peristiwa setelah kematian. Padahal, bersedia atau tidak, kita pasti akan menjalaninya. Bersedia atau tidak, kematian pasti akan datang menjemput. Daripada selalu berdalih belum bersedia lebih baik mulai dari sekarang kita mempersiapkan diri untuk menghadapi kematian.

Persiapan terbaik adalah dengan selalu mengingati mati. Yakinkan pada diri kita bahawa kematian adalah pintu menuju Allah. Kematian adalah jalan menuju tempat yang indah, syurga. Dengan selalu mengingati mati kita akan selalu berusaha agar setiap tindakan yang kita lakukan merupakan langkah-langkah menuju syurga yang penuh kenikmatan.

Hakikat kehidupan manusia adalah sebuah perjalanan kembali menuju Allah.Dalam perjalanan yang singkat ini ada yang kembali dengan selamat, namun ada yang tersesat di neraka. Kita terlalu disibukkan oleh dunia hingga merasakan bahawa dunia inilah kehidupan yang sebenarnya. Kita seakan lupa bahawa hidup ini hanya sekadar persinggahan untuk mencari bekal pulang. Kemilaunya keindahan dunia membuat kita terlena untuk menapaki jalan pulang.

Rasulullah SAW pernah berkata orang yang paling cerdas adalah orang yang selalu mengingati mati. Dengan erti kata lain orang yang paling cerdas adalah orang yang mempunyai visi jauh ke hadapan. Dengan selalu mengingati visi atau tujuan hidupnya, ia akan selalu berghairah melangkah ke hadapan. Visi seorang muslim tidak hanya dibataskan oleh kehidupan di dunia ini sahaja namun lebih dari itu, visinya jauh melintasi batas kehidupan di dunia. Visi seorang muslim adalah kembali dan berjumpa dengan Allah. Baginya saat-saat kematian adalah saat-saat yang indah kerana sebentar lagi akan berjumpa dengan sang kekasih yang selama ini dirindukan.
Terkadang kita takut mati kerana kematian akan memisahkan kita dengan orang-orang yang kita cintai. Orang tua, saudara, suami/isteri, anak. Ini menandakan kita lebih mencintai mereka daripada Allah. Jika kita benar-benar cinta kepada Allah maka kematian ibarat sebuah undangan mesra dari Allah.

Namun begitu kita tidak boleh meminta untuk mati. Mati sia-sia dan tanpa alasan yang jelas justeru akan menjauhkan kita dari Allah. Mati bunuh diri adalah wujud keputus asaan atas kasih sayang Allah. Ingin segera mati kerana kesukaran dunia menandakan kita ingin lari dari kenyataan hidup. Mati yang baik adalah mati dalam usaha menjadi rahmat bagi seluruh alam semesta. Mati dalam usaha mewujudkan cita-cita terbesar yakni perdamaian dan kesejahteraan umat manusia.

Akhirnya orang yang selamat adalah orang yang menyedari bahawa semua harta dan kekuasaan adalah perantaraan untuk dapat kembali kepada Allah. Jasadnya mungkin bersimbah peluh berkuah keringat, banting tulang menundukkan dunia namun hatinya tetap hanya terpaut pada si kekasih; Allah SWT. Yang terpenting adalah bagaimana kita dapat bekerja keras, berfikir cerdas dan berhati ikhlas.

Duhai Pemilik dunia, ajarkan kami untuk menundukkan dunia, bukan kami yang tunduk kepada dunia. Bila kilauan dunia menyilaukan pandangan kami, bila taburan permata dunia mendebarkan hati kami, ingatkan kami ya Allah. Ingatkan bahawa keredhaanMu dan kasih sayangMu lebih besar dari pada sekadar dunia yang pasti akan kami tinggalkan. Amin.
Mati, ternyata tidaklah sekadar mati.

No comments: