Kerajaan Malaysia sudah mengisytiharkan MH370 menamatkan perjalanannya di Lautan Hindi yang mempunyai kedalaman 7 km itu.
Mengikut logik akal tak mungkin penumpang dan kru sebuah pesawat yang hilang selama 20 hari di laut masih boleh bertahan. Lainlah kalau jatuh dalam hutan yang banyak dusun dan pokok.
Tapi kadang-kadang kita terlupa logik akal manusia tak sama dengan logik ketentuan Allah. InfoDalamTalian kongsikan kisah benar ini, kisah benar kehilangan sebuah pesawat Uruguay yang hilang selama 72 hari pada 1972. Mungkin ramai yang pernah membaca kisah benar ini:
Kisah benar ini terjadi pada suatu musim dingin di bulan Oktober 1972. Sebuah pesawat Uruguay Air Force Flight 571 yang membawa seramai 40 orang pemain rugbi dan kaum keluarga mereka dan 5 kru penerbangan dalam perjalanan menuju Peru untuk satu perlawanan ragbi.
Malangnya, pesawat tersebut terhempas di suatu kawasan pergunungan Andes berdekatan Chile pada 13 Oktober 1972. Daripada 40 penumpang hanya 29 penumpang yang selamat ketika pesawat terhempas. Tapi suhu dingin luar biasa dan ketiadaan ubat menyebabkan seorang demi seorang meninggal dunia. Akhirnya mangsa yang tinggal dan masih hidup cuma 16 orang saja.
Operasi menyelamat telah dijalankan oleh kerajaan Uruguay, tapi semua mangsa gagal ditemui. Akhirnya selepas kira-kira 10 hari, operasi penyelamat telah dihentikan kerana kerajaan Uruguay menganggap mangsa pesawat terhempas itu mustahil dapat hidup dalam kawasan pergunungan yang sukar dimasuki dan bersalji tebal itu. Pencarian dari udara hanya melihat seperti gurun yang diliputi hamparan salji yang luas memutih di antara kemuncak gunung. Mana mungkin mengikut logik akal dan logik sains ada manusia boleh hidup dalam ketinggian 3,600 meter di atas permukaan laut di musim sedingin itu?
16 mangsa yang terselamat itu hanya memakai pakaian seadanya. Bekalan makanan sangat terhad dan akhirnya mereka kehabisan makanan. Bagaimana caranya untuk meneruskan kehidupan tanpa makanan?
Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk meneruskan hidup dengan memakan daging rakan-rakan mereka yang telah mati! Apa nak buat, itu saja pilihan yang ada.
Selepas genap dua bulan terperosok di celah gunung bersalji itu, 3 orang mangsa menyedari, satu-satunya jalan keluar dari kesengsaraan itu adalah dengan memanjat gunung yang sukar itu bagi mendapatkan bantuan.
Pada 12 Disember 1972, Parrado, Canessa dan VizintÃn memulakan perjalanan memanjat gunung Andes cuma berbekalkan beg tidur (sleeping bag) bagi melindungi tubuh dari kesejukan melampau.
Perjalanan tiga sahabat itu menempuh pelbagai laluan sukar dan hanya bergantung kepada beg tidur itu sahaja untuk memanaskan badan selain oksigen yang semakin tipis. Suatu hari selepas begitu lama berjalan, mereka melihat seperti ada tanda-tanda kehadiran manusia bila ternampak perkhemahan dan beberapa ekor lembu.
Pada hari kesembilan berjalan, 3 orang sahabat itu ternampak seorang lelaki menunggang kuda tidak jauh dari sebatang sungai. Akhirnya penduduk kampung menemui mereka yang telah diisytiharkan kerajaan sebagai mati itu dalam keadaan yang sangat lemah dan tidak berdaya.
Kerajaan Uruguay kemudiannya menjalankan operasi menyelamat secara besar-besaran bagi menyelamatkan 13 mangsa lagi yang masih terperangkap selama 72 hari di lubuk salji yang luas itu. Pada 22 Disember, akibat cuaca buruk, hanya dua buah helikopter mampu untuk mengambil separuh daripada mangsa yang terselamat. Pada pagi 23 Disember kesemua 16 mangsa telah dapat diselamatkan. Semua mangsa telah dibawa ke hospital di Santiago dan dirawat untuk penyakit dehidrasi, radang dingin, kepatahan tulang, skurvi dan malnutrisi.
Jika tidak kerana ketabahan Parrado, Canessa dan VizintÃn, mungkin 13 rakan-rakan yang masih berada di sisi pesawat remuk itu tidak dapat diselamatkan. Kisah ini pernah di lakonkan semula dengan tajuk Alive pada tahun 1993
Dan MH370? Mungkinkah akan berlaku satu lagi keajaiban seperti yang berlaku kepada 16 orang mangsa kemalangan pesawat Uruguay itu? Jika terperangkap dalam salji sejuk selama 72 hari dan diisytiharkan mati oleh kerajaan Uruguay masih ada jalan keluar untuk menemui keluarga mereka, mungkinkah perkara sama akan berlaku pada penumpang dan kru MH370?
Kadang-kadang logik akal manusia yang bersandarkan logik sains tak sama dengan logik kekuasaan Tuhan. Kalau mengikut logik akal 16 penumpang pesawat Uruguay itu tak mungkin boleh hidup. Kalau mengikut logik akal juga tak mungkin Nabi Yunus selamat berada di dalam perut ikan nun. Tapi kuasa doa melebihi logik akal...
Sumber:
http://akubarubelajarmenulis.blogspot.com/2014/03/mungkinkah-sejarah-akan-berulang.html
Sumber:
http://akubarubelajarmenulis.blogspot.com/2014/03/mungkinkah-sejarah-akan-berulang.html
No comments:
Post a Comment