Friday, June 27, 2008

Artifak warisan Islam dilelong

INILAH kunci Kaabah yang dihasilkan pada abad ke-12 dan menjadi tarikan utama sesi lelongan di London apabila dijual pada harga kira-kira RM64.4 juta, kepada seorang pembeli misteri.

SEBATANG anak kunci lama Kaabah, helaian kitab suci al-Quran dan pisau emas yang dikatakan milik Maharaja ternama India, Shah Jehan antara lebih 400 artifak penting, termasuk seni pembuatan besi, manuskrip, senjata, seramik, tekstil dan lukisan yang dihasilkan pada era abad ke-7 hingga ke-19 menjadi bahan lelongan oleh tiga firma lelongan terkemuka dunia, Sotheby’s, Christie’s dan Bonham di London, baru-baru ini.

Acara lelongan dikenali Minggu Jualan Hasil Seni Dunia Islam yang diadakan pada 9 dan 10 April lalu terbukti menjadi perhatian sehingga menarik hadirin ramai peminat hasil seni artifak atau warisan Islam dari dalam dan luar negara.

Lelongan yang turut menjadi bahan liputan media dunia, mencatat rekod sebagai yang tertinggi pernah dicatatkan apabila meraih jualan kira-kira £21.5 juta (RM150.5 juta) yang juga satu catatan rekod bagi lelongan seumpamanya yang pernah dianjurkan Sotheby’s.

Lelongan oleh Christie’s pula mengaut keuntungan kira-kira £11.8 juta (RM82.6 juta). Ini menjadikan kedua-dua hasil lelongan itu meraih jualan kira-kira RM233.31 juta.

Antara hasil seni yang menjadi perhatian dalam lelongan di Sotheby’s termasuk tali pinggang besi diraja abad ke-14 yang berasal dari Andalusia, Sepanyol, anak kunci Kaabah dan 22 helai kain penutup Kaabah.

Namun, kemuncak atau ‘bintang’ acara lelongan itu adalah sebatang anak kunci pintu Kaabah yang pernah di gunakan pada abad ke-12, dilelong pada harga kira-kira £9.2 juta (RM64.4 juta).

Kunci yang dihasilkan pada zaman Bani Abbasiyah itu diperbuat daripada besi padu dan berukuran 37 sentimeter panjang dan dijual pada harga 18 kali lebih tinggi daripada tawaran asal.

Agak sedih mengenangkan bagaimana kunci yang amat berharga kerana menjadi sebahagian elemen penting peradaban, sejarah yang terkandung di sebaliknya dan hasil seni Islam pada zaman Abbasiyah serta paling penting, membabitkan Kaabah yang menjadi arah kiblat umat Islam menunaikan solat lima waktu sehari, berakhir sebagai bahan lelongan.

Sedangkan, tempatnya harus sebagai bahan tetap pameran di muzium kesenian Islam untuk diamati ramai.

Persoalannya, bagaimanakah seni khazanah Islam yang sebegitu bernilai tinggi boleh berakhir di majlis lelongan berkenaan? Bagaimanakah ia dapat bertukar tangan sepanjang tempoh sembilan abad lalu - dari Tanah Suci di Arab Saudi sehingga ke ibu kota London sebagai artifak lelongan?

Tiada siapa mengetahui ‘perjalanan’ kunci Kaabah berkenaan dan bagi menambah misterinya lagi, pemilik baru anak kunci berkenaan juga enggan dikenali. Malah lelongannya turut mencetuskan rasa terkejut dan tidak puas hati banyak pihak yang menggesa kalangan hartawan Muslim dan pertubuhan Islam menggembleng tenaga memastikan kunci itu dapat dibawa pulang ke tempat asalnya.

Tidak kurang yang mendakwa ia mungkin dicuri pihak tertentu. Apa yang pasti, anak kunci berkenaan dikatakan yang kedua daripada 58 kunci yang diketahui masih wujud dan menjadi satu-satunya kunci Kaabah yang disimpan orang awam.

Sebanyak 54 anak kunci Kaabah kini disimpan di Muzium Istana Topkapi, di Istanbul. Dua lagi dalam simpanan peribadi Nuhad Es-Said dan masing-masing satu lagi di Louvre, Paris dan di Muzium Kesenian Islam di Kaherah.

Kunci yang dilelong kali ini tidak diketahui berasal dari mana. Namun ia yang menjadi antara simbol kekuasaan agama Islam, turut terpampang kata-kata “Inilah yang dihasilkan bagi kegunaan Rumah Allah ketika pemerintahan Imam al-Muqtadi Abu Ja’far al-Mustansir Abu’l-Abbas 573.”

Sothebys turut menyifatkan kunci pintu Kaabah itu sebagai antara faktor utama yang menyebabkan lelongan kali ini mencatat keuntungan besar, seperti diakui sendiri Ketua Unit Seni Islamnya, Edward Gibbs : “Hasil jualan kali ini jauh lebih tinggi daripada kira-kira £20 juta (RM140 juta) yang dicapai pada tahun lalu. Selain mencatatkan jualan tertinggi pernah diraih unit hasil seni Islam kita, ia juga membuktikan minat terhadap warisan agama itu sememangnya tinggi.

Hasil jualan anak kunci Kaabah itu bukan setakat menjadi tarikan, malah terbukti menjadi satu-satunya produk lelongan hasil seni Islam paling mahal dijual pada acara lelongan. Rekod itu sebelum ini disandang kepala hiasan air pancut tembaga yang dihasilkan pada pertengahan kurun ke-10 di Andalusia yang turut menjadi antara tempat keagungan dunia Islam.

Kepala air pancut itu meraih harga £3.6 juta (RM25.2 juta) ketika dilelong pada 1997.

Namun Christie’s juga enggan kalah di tangan Sotheby’s apabila mendakwa hasil jualan seni warisan Islamnya mencatat rekod dengan memperoleh £11.8 juta (RM82.6 juta) - jumlah terbesar pernah diraihnya.

Ia mendakwa sehelai muka surat daripada sebuah kitab lama al-Quran, dilelong pada harga £2.5 juta (RM17.5 juta) - satu angka yang jauh lebih tinggi daripada nilai asalnya antara £100,000 dan £150,000.

Satu lagi bahan warisan yang menjadi tarikan jualan oleh firma Bonham adalah pisau emas yang didakwa menjadi milik Shan Jehan, Maharaja dinasti Moghul India yang dikenali kerana membina tugu cinta - Taj Mahal yang masih tersergam indah sehingga ke hari ini.

Pisau yang lengkap dengan sarungnya itu dijual pada harga kira-kira £1.7 juta (RM11.9 juta) - satu catatan lebih tiga kali daripada harga asalnya. Senjata besi Farangi yang turut terpampang nama dan simbol pemilikan peribadi Shah Jehan, dikatakan dihasilkan pada 1653.

Pengedar hasil seni Islam, Sam Fogg yang berpejabat di London berkata hasil seni Islam semakin mendapat pasaran, apalagi ia dianggap masih baru berbanding artifak lainnya.

“Ia juga berkait rapat dengan kehadiran ramai pembeli baru dari Asia Barat yang sanggup membayar harga tinggi bagi mana-mana artifak yang digemarinya

Ironinya mengenai kenyataan itu, sudah pasti ada di antara peminat barang lama Arab itu beragama Islam. Lebih dikesali di sebalik kegilaan mereka mengumpul artifak itu, ada hakikat sedih terbentang di depan mata umat Islam sendiri khususnya - bagaimana kita boleh membiarkan harta bernilai itu menjadi bahan lelongan oleh tangan-tangan asing yang sememangnya tidak pedulikan sejarah keagungan Islam. Jika benar ia dicuri untuk dilelong, siapakah dalangnya dan bagaimana caranya dapat menyekat kejadian itu berulang? Inilah persoalan yang harus ditimbang oleh semua pihak, khususnya pertubuhan Islam dan Arab Saudi sebagai pemegang amanah Tanah Suci Makkah. Apakah kita perlu menunggu satu lagi acara lelongan hasil seni Islam tahun depan sebelum bertindak untuk menyelamatkan artifak yang menjadi antara simbol peradaban dan maruah Islam.

No comments: