Friday, June 27, 2008

Sapa kata ponteng takde faedah...


Diiktiraf pereka wau terkemuka dunia kerana kerja tangannya yang bermutu.

Shafie Jusoh, 61, pembuat wau terkemuka negara yang cukup dikenali bukan saja di dalam negara bahkan di peringkat dunia. Rekod penyertaannya di lapan buah negara sama ada untuk pertandingan atau jemputan khas membuktikan kewibawaannya dalam mengembangkan seni budaya di peringkat antarabangsa.

Beliau pernah ke Australia, New Zealand, Perancis, Denmark, Maldvies, Indonesia, China, Pakistan dan pada 10 Jun lalu beliau ke Jerman atas jemputan sama iaitu mempamerkan kemahiran mereka cipta wau dan menyertai pertandingan.

Menyingkap sejarah pembabitannya dalam pembuatan wau, Shafie menjelaskan ia bermula ketika beliau ponteng sekolah dan menyorok di dalam semak daripada ayahnya. Setiap hari beliau menyorok di dalam semak dan ketika itulah timbul ilham untuk mereka cipta wau.

"Saya perhatikan pokok tembikai yang tumbuh meliar di dalam semak. Susunan batang, daun dan buahnya cukup menarik perhatian saya. Bagi menghilangkan bosan bersembunyi seorang diri, saya terfikir untuk membuat sesuatu yang menarik.

"Wau yang pertama saya buat tidak boleh diterbangkan, saya buat lain sehinggalah kali ketiga baru wau itu diterbangkan. Apabila wau sudah boleh terbang, terfikir untuk mencantikkannya menggunakan idea berasaskan tumbuhan yang saya jumpa di dalam semak," katanya.

Sejak itu beliau terus berhenti daripada pengajian di Sekolah Menengah Banggol, Kota Bharu dan boleh dikatakan setiap hari dihabiskan dengan bermain wau di sawah padi Bendang Lancor, tidak jauh dari tempat kelahirannya, Kampung Kijang.

Di situlah bermulanya detik beliau secara terbuka bermain wau tanpa menyorok daripada bapanya dan mula menyertai pertandingan di daerah berdekatan.

No comments: